CERPEN: Tipu


Mentari sudah jauh tergelincir ke barat. Tangan kanan Budin digenggamnya di dalam kocek kosong. Di tangan kiri, sebungkus nasi berbalut plastik, kadang-kadang dihayun perlahan. Jalannya santai di atas batas-batas relung padi, mungkin kerana menikmati redup petang, atau sememangnya dia sudah kepenatan berlari.
"Din! Ape tu?" Teriak Mat yang duduk di bangsal usang di tepi sawah. Mat pantang nampak makanan. Padan dengan badannya yang makin membelon.
"Nasi bungkus!" jawab Budin, tanpa benar-benar menjawab.
"Berapa ringgit?" Mat memang tak bertangguh. Mulutnya sudah kecur membayangkan nasi lauk ayam gulai yang bakal dinikmatinya.
"Tiga!" Budin dekati bangsal lalu duduk disebelah Mat.
"Aku beli dengan kau, lima ringgit!" Minta Mat.
Budin menyeringai. Dua tiga batang giginya yang rongak dan hitam nampak jelas.
"Banyak duit kau!"
"Aku pinjam adik aku, hahahaha..." Mat seronok dan bangga dilihat berduit. Apa nak hairan, nanti dia boleh ganti duit tu bila Cik Melah bagi duit sekolah.
"Ambiklah! Bak duit!" Budin pula tidak bertangguh. Tangan dihulur.
"Nah!" Mat letak duit kertas lima ringgit dalam tangan Budin.
Budin cepat-cepat masukkan duit tadi ke dalam koceknya yang sedari tadi, kosong. Lantas dia bangun sambil berlari-lari anak ke kedai Pak Zahid.
Mat segera buka nasi bungkus tadi, tapi mukanya mula masam mencuka. Isinya sekadar nasi putih separuh, dan sebiji telur masak gulai.Ini kalau kat kedai Mak Atin, baru RM2.00, getus hati Mat.
Biasanya Mat menghabiskan masa dengan melepak di bangsal usang tepi sawah. Pemandangan sawah yang luas hingga ke ufuk timur memang menenangkan fikiran Mat. Dalam khayalannya, semua sawah itu miliknya, dan dia merupakan seorang pemilik sawah bendang yang kaya-raya.
Waktu paling selesa untuk bersantai di bangsal itu ialah waktu petang. Selepas asar, ketika matahari sudahpun jauh tergelincir ke barat. Bayang deretan pokok kelapa redup memayungi bangsal. Laluan ke situ hanyalah satu lorong kecil barang serantai, tembus ke jalan raya. Duduk bangsal itu agak ke tengah, betul-betul di laluan angin.
Tapi petang ini, bangsal itu tidak nyaman bagi Mat. Dia masih agak jengkel.Dia tidak belok ke sawah, tapi menapak terus di bahu jalan raya. Geram masih berbaki, cuma tidak sampai mahu menumbuk gigi rongak si Budin hingga patah.
Mat singgah di kedai runcit ayah Nani. Dia beli sebatang aiskrim bubur kacang yang dibuat sendiri oleh mak Nani. Tiga puluh sen harganya. Keluar dari kedai, Mat terpandang di simpang tiga, susuk Budin di bawah pokok, dengan kotak gabus ais. Dia jalan selamba menuju Budin.
"Din, semalam kau tipu aku, eh?" tanya Mat bila sudah hampir.
Budin masih termenung memandang ke arah simpang ke Teluk Jambi.Dia tidak dengar pun soalan Mat. Kepalanya menghitung dan mencongak.
"Din! Kau dengar tak?" soal Mat lagi, semakin geram.
"Hah?! Apa kau cakap?"
"Semalam, kau tipu aku, eh?" Ulang Mat.
"Mana ada!" tingkah Budin.
"Habis, apasal kau jual nasi kau kat aku mahal sangat?!" soal Mat.
"Ler, dah kau yang mintak nak beli dengan harga tu!" muncung-muncung mulut Budin, mempertahankan dirinya. Memang dia sengaja tidak berterus terang, tapi bagi Budin, itu bukan salahnya. Mat yang tergopoh gapah membeli.Kalau Mat yang mahu membeli dengan harga dua kali ganda, kenapa pulak salah untuk dia menjual?
Mat terdiam. Geram masih berbaki, tapi dia tidak dapat meningkah. Dia malu sendiri.
Suasana hening seketika. Budin masih duduk di bangkunya. Soal Mat bukan isu utama dikepalanya. Hitung dia masih singkat, masih tidak mencukupi.
Mat tidak beredar, Sesekali dia jenguk ke dalam gabus ais Budin. Rupanya ada aiskrim potong di dalamnya.Mat nampak ada tiga warna, kuning, coklat dan merah jambu. Semuanya di dalam bekas masing-masing, digenangi kiub-kiub ais yang semakin mencair.
"Untung ke kau jual aiskrim potong ni?" tanya Mat, sambil duduk mencangkung di tepi kerusi Budin.
"Mau tak! Modal aku lima ringgit jer. Bila habis ni, kurang-kurang dapat sepuluh ringgit!" terang Budin bangga. Mulutnya tersengih-sengih menampakkan gigi bawah sebelah kanan yang rongak.
"Perkhh!! masyuk nya..." sambut Mat tumpang seronok.
"Kalau tak masyuk, aku tak buat..." balas Budin.
Memang Mat akui, Budin ligat kalau soal mencari untung. Mat hitung gabus ais, isi gabus, semuanya tak mungkin boleh dapat dengan lima ringgit. Pandai Budin cari barang-barangnya. Kalaulah aku yang berniaga, kan lebih baik... detik hati Mat.
Mat raba kocek seluarnya. Duit sepuluh ringgit yang diberi Cik Melah, ibu angkatnya masih di situ. Cik Melah kirim pada Mat untuk beli top-up telefonnya, tapi bukan perlu segera. Kalau Mat pakai dulu duit itu untuk berniaga, dia boleh beli nasi lemak ayam goreng di kedai Pak Man. Cik Melah tak perlu tahu apa yang Mat buat dengan duit itu, asalkan top-upnya ada, malam nanti. Kali ini, Mat tahu apa yang mahu dibelinya.
"Din, Din..." tutur Mat perlahan.
"Amende?"
"Aku borong je semua ni, lima ringgit. Biar aku jer berniaga." Mat senyum pada Budin, cuba memujuknya.
Budin toleh ke arah Mat. Dia sedikit pelik. Tiba-tiba pulak Mat minat nak berniaga.
"Tak payah lah Mat."
"Apasal pulak? Kau mesti dah penat, kan?"
"Rugi lah aku, kalau jual kat kau harga lima ringgit. Langsung tak ada untung!" Bantah Budin.
"Ye lah... ye lah... Aku beli harga enam ringgit."
"Kau ada duit ke?" Tanya Budin.
Mat seluk kocek seluarnya. Not merah sepuluh ringgit dikeluarkan, ditayang-tayang pada Budin.
"Tujuh ringgit, baru aku jual." Tawar Budin.
Mat diam sebentar. Tiga ringgit, cukup lagi untuk nasi lemak ayam goreng Pak Man, tapi tak dapat lah air sirapnya.
"Okey, jadi!" cakap Mat. Dia sedikit bangga dengan dirinya. Ini peluang keemasan baginya. Di sinilah bermulanya kerja Mat di bidang perniagaan, angan Mat makin menjauh.
Budin ambil tiga ringgit dari bekas duit dan dihulurkan pada Mat. Not merah di tangan Mat disambutnya, dan di simpan ke dalam koceknya.
"Meh tangan." kerah Budin.
Mat hulurkan tangannya. Tangannya disambut Budin. "Aku jual bisnes ini dengan harga tujuh ringgit."
"Aku beli." balas Mat sambil kembang kuncup hidungnya. Serasa macam sudah dewasa. Beginilah agaknya orang dewasa berjual beli.
"Okey lah Mat, aku balik dulu." kata Budin, meninggalkan Mat.
"Bye!"
Ketika matahari sudah rendah di ufuk barat, Mat masih di simpang. Ayah Nani, Pak Latif datang mendekati Mat.
"Ha Mat! Kamu buat apa di sini?"
"Berniaga pakcik." Jawab Mat
"Tadi pakcik suruh si Budin berniaga di sini. Dia suruh kamu pulak!" Ternganga mulut Mat. Dia separuh tak percaya kata-kata Pak Latif.
"Tapi pakcik, Budin jual gerai dia ni pada saya!" bantah Mat perlahan.
"Budin... Budin... Pakcik niat nak suruh dia belajar berniaga. Dia jual pada kamu pula." Rungut Pak Latif, kesal dengan sikap anak saudaranya itu.
"Berapa dia jual pada kamu?"
"Tujuh ringgit pakcik." suara Mat makin perlahan.
"Berapa kamu dapat jual?"
Mat belek-belek kepingan wang kertas dan syiling dalam bekas duit. Ada hampir sepuluh ringgit di dalamnya. Aiskrim potong masih berbaki beberapa batang. "Sembilan ringgit tiga puluh sen pakcik."
"Aiskrim tadi, pakcik bagi lima ringgit. Itu modal pakcik. Gabus, kerusi semua ni, pakcik pinjamkan pada Budin saja. Berapa baki?" Pak Latif soal lagi.
"Tinggal empat ringgit tiga puluh sen pakcik.... " Mata Mat mula dibasahi air mata. Duit ditangan sudah tidak cukup untuk membeli top-up ibunya. Kalau dicampur baki yang diberi Budin, baru tujuh ringgit tiga puluh sen. Bukan sahaja untung sudah terlepas, modal pula menyusut.
"Tak apa lah Mat, kamu tolong pakcik angkat barang-barang ni ke kedai, Pakcik pulang balik duit sepuluh ringgit kamu." ujar Pak Latif, sambil mengeluh panjang.
"Baik pakcik." jawab Mat serak, sambil mengesat-ngesat air mata di pipinya.

“Selalu ke dia tipu kamu?” tanya Pak Latif selesai Mat meletakkan gabus di penjuru kedai.
“Tipu duit, baru dua kali...” jawab Mat, lalu menceritakan apa yang berlaku semalam. Sesekali, Nani yang menjaga kaunter kedai menoleh ke arahnya. Mungkin menadah telinga, tumpang mendengar luah rasa Mat.
Pak Latif termenung sebentar mendengar cerita Mat. “Kamu rasa rugi ke?”
“Memang lah, pakcik...”
“Tapi kali kedua, kamu pastikan dulu apa yang kamu mahu beli, kan?”
Mat angguk.
“Maknanya kamu mengambil pelajaran dari kesilapan pertama, jadi kamu sebenarnya tidak rugi.”
Mat terkedu. Dia labuhkan punggungnya ke bangku. Bangku yang selalu Pak Latif guna untuk bersantai di depan kedai sambil membuat kira-kira.
“Cuma harga pelajaran itu, tiga ringgit.” Pak Latif diam seketika.
“Hari ini, kamu belajar tentang modal barang yang mahu kamu beli, dan untung rugi jualan, dan nampaknya pakcik yang membayar harga pelajaran kamu.” sambung Pak Latif sambil tersengih.
“Elok kamu balik, dah hampir maghrib ni...” kata Pak Latif menghabiskan ceramah ringkasnya.
Mat bingkas bangun mahu keluar. Tiba-tiba dia patah balik ke dalam kedai. “Errr… Pakcik! Cik Melah kirim kat saya, top-up X-Pax, sepuluh ringgit.”
Pak Latif sudah hilang di sebalik dinding kedai, masuk ke dalam rumahnya. Agaknya mahu cepat-cepat mandi dan ke surau.
Nani yang dari tadi termenung di kaunter, mengangkat kepalanya dan memandang ke arah Mat. “Kat sini, Mat.”
Mat ke kaunter dan mengambil kepingan kredit telefon itu lalu menghulurkan duitnya.
“Jangan berkira sangat dengan Budin.” ungkap Nani perlahan. “Minggu lepas Pak Ngah dengan Mak Ngah bergaduh, pasal duit. Pak Ngah dah seminggu tak balik rumah.”
Kata-kata Nani mati di situ. Mat angguk perlahan seolah-olah dia paham, lalu beredar untuk pulang ke rumah. Melintasi kedai Pak Zahid, Mat nampak Budin memesan air teh ‘O’ ais bungkus. Di tangan kirinya dua bungkus nasi, agaknya untuk dia dan ibunya.

Comments